Menteri Agama sahkan positif Covid-19

0
1

MENTERI Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebentar tadi maklumkan beliau disahkan positif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Perkara itu dinyatakan beliau menerusi laman Facebooknya sambil memaklumkan keadaan kesihatannya baik.

“Alhamdulillah, sehingga saat ini keadaan kesihatan saya adalah baik.

“Saya menyeru orang ramai yang menghadiri majlis yang melibatkan kehadiran saya dari 24 September hingga 4 Oktober agar menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera.

“Saya berdoa semoga Allah SWT sembuhkan dan selamatkan rakyat Malaysia daripada Covid-19. Insya-Allah,” katanya.

Difahamkan, beliau hadir pada di Jabatan Perdana Menteri pada Sabtu lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan seorang individu yang hadir mesyuarat itu disahkan positif Covid-19.

Individu terbabit yang tidak didedahkan identitinya tidak mengalami sebarang gejala jangkitan Covid-19 dan telah dimasukkan ke hospital untuk pengasingan, pemerhatian dan rawatan mengikut protokol sedia ada.

Berikutan itu, semua yang hadir ke mesyuarat tersebut menjalani saringan kesihatan hari ini serta sampel telah diambil untuk ujian pengesanan jangkitan Covid-19. – MalaysiaPost