POLIS membuka dua Kertas Enkuiri Polis (KEP) bagi menyiasat insiden kain rentang dengan kata-kata kesat digantung di dua lokasi di Ipoh yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata pihaknya menerima maklumat awam mengenai insiden pertama pada jam 9 malam menunjukkan satu gambar kain rentang dengan kata-kata kesat digantung di jejantas pejalan kaki, Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Katanya, susulan itu anggota pasukan bertindak khas Balai Polis Sungai Senam telah ke lokasi, namun didapati tiada kain rentang digantung di atas jejantas berkenaan.
“Pemeriksaan di kawasan sekitar menemui kain rentang berwarna putih dengan tulisan merah dan hitam di dalam tong sampah di hentian bas Jalan Raja Ashman Shah menghala ke Angsana Mall,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

A Asmadi berkata, anggota pasukan bertindak khas Balai Sungai Senam turut menerima maklumat terdapat kain rentang dengan kata-kata penghinaan berbunyi ‘rakyat jaga rakyat, menteri jaga poket’ digantung di Medan Selera Stadium Perak pada 12.15 tengah malam.
“Sebaik anggota polis tiba di lokasi, kain rentang tersebut tiada dan pemeriksaan di sekitar lokasi juga tidak menemukan bahan itu,” katanya.
Menurut A Asmadi, siasatan mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di kedua-dua lokasi kain rentang digantung dan tiada saksi bebas tampil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan setakat ini. – Malaysiapost

