KKM sahkan individu hadir mesyuarat di JPM Sabtu lalu positif Covid-19

0
1

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan seorang individu yang hadir mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri pada Sabtu lalu, postif jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ketika itu individu tersebut tidak mengalami sebarang gejala jangkitan Covid-19.

Oleh yang demikian, katanya, individu terbabit telah dimasukkan ke hospital untuk pengasingan, pemerhatian dan rawatan mengikut protokol sedia ada bagi kes disahkan positif Covid-19.

“Pengesanan dan siasatan kontak kepada individu sedang dijalankan, termasuk saringan gejala dan pengambilan swab bagi pengesanan jangkitan Covid-19.

“Kontak rapat yang dikenal pasti telah diberikan Surat Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh akhir pendedahan (kontak).

“Sehubungan itu, semua yang hadir ke mesyuarat tersebut menjalani saringan kesihatan hari ini serta sampel telah diambil untuk ujian pengesanan jangkitan Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, mereka yang dikenalpasti kontak rapat semasa mesyuarat telah diberikan HSO selama 14 hari dari tarikh 3 Oktober dan dipakaikan gelang pengawasan.

“Ahli mesyuarat lain yang bukan merupakan kontak rapat dikehendaki memantau status kesihatan kendiri (self-health monitoring) di rumah setiap hari selama 14 hari dengan menggunakan home assessment tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

“Mereka telah dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala semasa dalam tempoh pemantauan tersebut.

“KKM ingin memohon orang ramai agar tidak khuatir dengan kejadian ini dan tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya.

Beliau seterusnya berkata orang ramai akan dimaklumkan mengenai status jangkitan Covid-19 di Malaysia dari semasa ke semasa secara kenyataan media rasmi KKM.

Terdahulu hari ini, Malaysiapost melaporkan tular di media sosial hari ini seorang menteri berstatus Senator positif Covid-19.

Susulan itu terdapat dakwaan semua menteri Kabinet menjalani ujian saringan Covid-19.

Ia berikutan menteri terbabit turut menyertai mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

Jabatan Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebooknya hari ini memaklumkan sidang media Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung perkembangan semasa Covid-19 yang sepatutnya diadakan jam 2 petang tadi, dibatalkan. – Malaysiapost