Belukar di kawasan Perindustrian Nilai disyaki lokasi utama pencemaran

0
1

KAWASAN belukar di pinggir kawasan industri Jalan Emas, Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan disyaki lokasi utama punca pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi.

Menerusi satu kenyataan, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), memaklumkan sejumlah bahan buangan serta bahan sebatian organik yang tersisa ditemui di lokasi tapak itu hari ini.

Katanya, bau busuk bahan buangan yang ditemui hampir menyerupai bau yang menjadi punca LRA Sungai Semenyih henti tugas sejak semalam.

“Enam sampel tanah diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan dan dihantar ke Jabatan Kimia manakala Majlis Bandaraya Seremban serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan membersihkan sisa pukal di lokasi berkenaan hari ini,” katanya.

Menurutnya, kawasan pembuangan sisa organik itu dikawal rapi oleh JAS Negeri Sembilan dan polis.

“Sisa buangan haram yang dijumpai ini disyaki diuruskan oleh syarikat tidak berdaftar dan siasatan oleh polis, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan JAS akan merujuk kepada penemuan itu sebagai sumber sekunder.

“Pihak Pengurusan Air Selangor belum dapat memulihkan bekalan disebabkan kesan bau yang masih kuat (7 hingga 8 TON) namun berusaha untuk memulihkan bekalan secepat mungkin apabila kesan bau dapat dikurangkan kepada 0 TON,” katanya. – Malaysiapost.