Nurul Huda Abhar
LOJI Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi belum beroperasi berikutan pencemaran air mentah masih dikesan di Sungai Semenyih.
Pencemaran masih lagi dikesan dan berada pada tahap lima TON di muka sauk LRA Bukit Tampoi dan tujuh TON di muka sauk Sungai Semenyih.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Elina Baseri, berkata dalam tempoh lebih 14 jam pihaknya tidak dapat menghasilkan air sebanyak 602 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada para pengguna di 274 kawasan.
Beliau berkata, pemulihan gangguan bekalan air tidak berjadual tersebut tidak dapat ditentukan sehingga kini.
“Pengguna digalakkan mengambil bantuan bekalan air alternatif di pili-pili awam dan pusat khidmat setempat (PKS).
“Senarai pili awam dan PKS sila rujuk di laman sesawang Air Selangor.
“Bantuan melalui lori-lori tangki air diutamakan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara kematian,” katanya, pagi ini.
Semalam, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan melaporkan terdapat bau tidak normal seakan bau bangkai dikesan di Sungai Semenyih dan Sungai Langat. -Malaysiapost
Foto Kredit: Berita Harian

