PENCEMARAN di Sungai Semenyih, Selangor dikenal pasti berpunca dari kawasan perindustrian Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan yang terletak 30 kilometer dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.
Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata punca sebenar pencemaran di sungai berkenaan masih dalam siasatan.
“Bau seakan-akan bangkai. Punca dikenal pasti di sekitar kawasan perindustrian Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan. Lokasi sebenar masih dalam siasatan.
“Semoga Allah SWT membantu urusan penguat kuasa untuk mengenal pasti punca sebenar bagi memudahkan urusan seterusnya,” katanya menerusi Twitter malam tadi.
Beliau bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut melakukan tinjauan di LRA Sungai Semenyih, malam tadi.

Katanya, tahap pencemaran di sungai berkenaan pada tahan empat TON sehingga 4 petang, semalam.
Semalam, LRA Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih, semalam.
Henti tugas loji itu menyebabkan 273 kawasan terjejas membabitkan 309,605 akaun pengguna mengalami bekalan air tidak berjadual. -Malaysiapost

