KETUA Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan ada mengeluarkan kenyataan mengesahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempunyai cukup majoriti dan akan dilantik Perdana Menteri kesembilan.
Penafian itu dibuat selepas tular kenyataan palsu itu menerusi satu poster tertera gambar beliau dan Anwar di media sosial dan aplikasi WhatsApp hari ini.
“Saya dimaklumkan poster ini ditularkan di banyak grup (kumpulan) WhatsApp dan ruangan media sosial lain.
“Mana ada Sinaran Harian! Yang ada hanya Sinar Harian. Cukup-cukuplah troll fitnah seperti ini. Fokuslah pada isu rakyat yang hari ini makin resah,” katanya.
Beliau berkata, tumpuan kini harus diberikan kepada isu yang lebih penting iaitu rakyat sedang susah apabila moratarium berakhir dan wabak Covid-19 kian menular, manakala lepasan universiti makin ramai menganggur.
“Yang hilang punca pendapatan makin bertambah, masing-masing bak kais pagi makan pagi, kais petang makan petang bahkan ada yang setiap hari memikirkan makanan untuk dihidangkan di atas meja.
“Daripada menghabiskan masa buat Troll Fitnah, mari sama-sama fikirkan solusi di atas jika tak mampu untuk menghulurkan bantuan!,” katanya. – Malaysiapost

