Covid-19: UniSZa ditutup sementara

0
1

UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus ditutup sementara bermula esok hingga 7 Oktober ini susulan seorang stafnya disahkan positif Covid-19.

Bagi tempoh penutupan berkenaan, pihak UniSZA akan melaksanakan proses disinfeksi secara menyeluruh di semua kampusnya merangkumi Kampus Gong Badak, Kampus Perubatan dan Kampus Besut.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, berkata sebagai langkah kawalan, pengurusan UniSZA juga telah memutuskan semua kakitangannya bekerja dari rumah.

Katanya, arahan tersebut juga melibatkan semua operasi pentadbiran, kecuali staf yang terlibat dalam perkhidmatan perlu (essential services) seperti keselamatan, kesihatan, kewangan, hal ehwal pelajar dan kolej kediaman tertakluk kepada kelulusan.

“Kebajikan pelajar yang masih berada dalam kampus akan diuruskan oleh pihak universiti.

“Sepanjang tempoh penutupan, pengajaran dan pembelajaran (PDP) tetap diteruskan seperti biasa secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, staf yang disahkan positif itu mempunyai sejarah perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu menaiki kapal terbang yang juga dinaiki oleh seorang individu yang pulang dari Sabah dan disahkan positif Covid-19.

“Sejurus UniSZA mendapat maklumat itu, staf yang terlibat diarahkan membuat saringan segera di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan keputusannya positif.

“Justeru itu, semua warga UniSZA yang mempunyai kontak dengan staf yang dikuarantin telah diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah selama dua minggu bermula 2 hingga 15 Oktober ini,” katanya.

Menurutnya, seramai 17 kakitangan universiti telah diletakkan di bawah perintah pengawasan dan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kesemua mereka dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada seorang kakitangannya yang disahkan positif Covid-19,” katanya.

“Seramai 14 orang daripada mereka menjalani kuarantin di Institut Pendidikan Guru (IPG) Batu Rakit manakala tiga lagi ditempatkan di Hospital Hulu Terengganu,” katanya. – Malaysiapost