Pencemaran air: Henti tugas LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi.

0
1

LOJI Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi, Selangor terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, henti tugas loji berkenaan akan menyebabkan 274 kawasan terjejas membabitkan 309,687 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Ia turut melibatkan empat wilayah iaitu Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Air Selangor telah melaporkan insiden ini kepada Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan tindakan untuk mengenalpasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak sungai di sekitarnya sedang giat dijalankan.

Katanya, pihak Air Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menggiatkan bantuan kepada pengguna-pengguna yang terjejas susulan insiden ini.

“Pada masa ini, pihak kami masih belum dapat menjangka tempoh masa pengoperasian semula loji dan pemulihan bekalan air.

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khusus media massa,” katanya.

Maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual akan dikemaskini dari semasa ke semasa di Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang di www.airselangor.com. – Malaysiapost