AMK Kedah gesa Azman letak jawatan

0
1

Nilam Oshman

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) menggesa Exco Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Kedah, Azman Nasrudin memohon maaf dan meletak jawatan diatas kecuaiannya.

Ketua AMK Kedah, Mohamed Firdaus Johari, berkata Kedah telah digemparkan dengan beberapa kluster jangkitan Covid-19 yang baru iaitu Kluster Bah Rose, Bah Ketil dan Bah Lunas di mana ia amat membimbangkan.

Katanya, wujud persoalan dalam kalangan rakyat Kedah, adakah ketiga-tiga Kluster baru ini sebenarnya kluster ‘super spreader’ yang sama puncanya?

“Lebih mengecewakan ialah kejadian yang melibatkan Exco Kedah iaitu YB Azman Nasruddin.

“Sikap tidak bertanggungjawab beliau yang mementingkan diri sendiri dengan tidak membuat swab test dan kuarantin diri sendiri setelah pulang dari Sabah amat mendukacitakan.

“Sikap beliau ini menyebabkan isterinya yang juga merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus, Pulau Pinang turut dijangkiti Covid-19.

“Ini sekali gus menyebabkan lebih 600 pelajar dan guru mengalami kesusahan kerana terpaksa menjalani ujian saringan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekolah tersebut terpaksa ditutup selama lapan hari.

Katanya lagi, Azman juga telah menghadiri pelbagai program rasmi kerajaan negeri dan beberapa program di Langkawi pada 27 September lalu.

“AMK Kedah bersimpati dengan keadaan kesihatan beliau dan seluruh keluarganya serta mendoakan agar beliau cepat sembuh.

“Bagaimanapun, salah tetap salah. AMK Kedah menuntut Azman untuk memohon maaf secara rasmi dan terbuka kepada seluruh rakyat Kedah termasuk kepada semua ibu bapa serta guru-guru SK Permatang Janggus,” katanya.

“YB Azman Nasruddin wajib meletakkan jawatan beliau sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah dengan segera. Ini melibatkan isu Integriti beliau sebagai seorang pemimpin negeri yang perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian yang berlaku.

“AMK turut mendesak YB Azman Nasruddin didakwa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Jangan wujud layanan dua darjat antara rakyat marhaen dan pemimpin politik,” ujarnya.

Beliau berkata, adakah kerajaan Kedah atau pihak berwajib akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka sebagaimana tindakan undang-undang yang telah diambil terhadap lelaki yang menjadi punca bermula dan merebaknya Kluster Sivagangga dulu?

“Setiap rakyat di Malaysia harus dilayan serta dibicarakan dengan adil dan saksama. Hak keadilan itu perlu diutamakan,” katanya. – Malaysiapost