Sisa dari klinik haiwan ditemui di Sungai Gong

0
1

PROGRAM gotong royong membina denai@Sungai Gong di Rawang, Selangor hari ini, membawa kepada penemuan sisa klinikal di tebing sungai itu yang disyaki daripada sebuah klinik haiwan swasta berhampiran.

Memetik laporan Bernama, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norlin Jaafar yang menemui sisa itu ketika menyertai program berkenaan berkata, sisa klinikal itu bukan sahaja mencemarkan sungai, malah boleh membawa risiko penyakit berjangkit kepada masyarakat setempat.

Tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, iaitu mana-mana orang yang didapati bersalah boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000.

“JAS mengesyaki klinik berhampiran dengan tebing sungai ini dan saya telah mengarahkan JAS Selangor mengambil bahan bukti untuk dihantar ke Jabatan Kimia supaya siasatan dapat dilakukan dan seterusnya mengambil tindakan terhadap pesalah,” katanya kepada media semasa Program Gotong Royong Membina Denai@Sungai Gong, Rawang, Selangor, hari ini. – Malaysiapost