Hina rakyat Sabah, Cik Non disiasat polis

0
1

POLIS membuka kertas siasatan terhadap pengasas produk kecantikan, Nor Shahada Aisyah atau Cik Non.

Ia berikutan kenyataan kontroversi dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya yang menghina rakyat Sabah sebagai penyebab peningkatan Covid-19.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, satu laporan polis dibuat ke atas pemilik akaun FB terbabit susulan kenyataan dimuat naiknya itu.

Beliau berkata, susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi 1998.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan kita akan memanggilnya untuk merakam keterangan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.

Sebelum ini, Cik Non didakwa menghina orang Sabah dengan menggelar diri mereka ‘bodoh’ dan rakyat Sabah miskin kerana tidak berpuas hati dengan peningkatan kes Covid-19.

Selain itu, Cik Non juga mencetuskan kontroversi apabila caranya mempromosikan produk kecantikan mendapat kecaman netizen serta tular di media sosial bergaduh dengan pengawal keselamatan apabila dilarang masuk ke pusat beli-belah selepas tidak memakai pelitup muka. -Malaysiapost