PAS mengikut jejak langkah Umno dengan menangguhkan serta merta semua peringkat pentadbiran PAS termasuk mesyuarat, program dan aktiviti berikutan peningkatan semula kes Covid-19.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata arahan tersebut dikeluarkan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Saya dengan ini mengarahkan pematuhan sepenuhnya arahan di atas dengan menangguhkan Tanpa Tarikh (sine die).
“Semua kegiatan parti yang telah ditetapkan tarikh mahupun yang diperingkat perancangan berkuat kuasa serta-merta sehinggalah diberitahu kelak.
“Segala kerjasama agar pematuhan semua peringkat di bawah Pentadbiran saudara dan saudari amatlah dihargai,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan turut mengumumkan perkara yang sama.
Mesyuarat dan persidangan perwakilan Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian Umno ditangguhkan serta-merta atas arahan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. -Malaysiapost

