AHLI keluarga petugas Umno Kelantan yang berkempen di Sabah terkilan dengan sikap segelintir pihak yang seolah-olah memulaukan mereka kerana bimbang jangkitan Covid-19.
Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata keadaan itu sekali gus boleh menjejaskan keharmonian dan mengganggu emosi keluarga yang berkenaan.
Beliau berkata, kesemua petugas yang pulang dari Sabah pada 27 September lalu, telah disahkan negatif pada ujian yang pertama.
“InsyaAllah bermula esok (hari ini), saringan kedua akan dilakukan sekali lagi oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.
“Sekembalinya dari Sabah, mereka telah dikuarantinkan mengikut tempat yang sesuai termasuklah ditempatkan di sebuah hotel di Kota Bharu, walaupun kami terpaksa menanggung kos yang agak tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Jazlan berkata, sekiranya saringan kedua juga didapati negatif, mereka akan terus menjalani kuarantin diri mengikut prosuder operasi standard Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga tamat tempoh 14 hari.
“Sepanjang mereka pulang dari Sabah sehingga ke hari ini, ahli keluarga mereka langsung tidak bertemu dengan mereka demi menjaga kesihatan dan keselamatan.
“Malah, sebenarnya ujian kali kedua dilakukan atas inisiatif kami sendiri, walaupun tidak diwajibkan KKM,” katanya.
Beliau berkata, selepas keputusan saringan pertama negatif gelang merah jambu yang mereka pakai telahpun dipotong oleh KKM.
“Tetapi, kita masih mengambil keputusan untuk melakukan ujian kali kedua bagi mempastikan pasukan kami benar-benar bebas Covid-19,” katanya. -Malaysiapost

