Kes ‘Kluster Politik’ meningkat, kemarahan warganet memuncak

0
2

SUSULAN peningkatan mendadak kes harian Covid-19 di Malaysia, kemarahan warganet terhadap ahli politik kian memuncak.

Ia selepas negara mencatatkan 260 kes baharu semalam, iaitu kes harian kedua tertinggi direkodkan di Malaysia tahun ini.

Kebanyakan kes adalah membabitkan pelbagai kluster di Sabah, selain banyak kes baharu dicatat di Semenanjung disebabkan individu pulang dari Sabah termasuk ahli politik yang berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu hantaran di Facebooknya lewat petang semalam meminta supaya orang ramai supaya berada di rumah jika tiada urusan penting.

“Covid-19 telah berada dalam komuniti kita. Sila duduk di rumah jika tiada urusan penting. Jika perlu berada di luar, pastikan anda patuhi SOP dan nasihat KKM. 

“Ramai antara kita yang ambil mudah dan leka hingga menganggap kita telah bebas daripada wabak ini,” katanya.

Susulan itu, menerusi ruangan komen pada hantaran tersebut, warganet melepaskan kemarahan kepada ahli politik, termasuk menteri kerana didakwa punca peningkatan kes Covid-19 apabila menjalankan PRN Sabah dalam suasana pandemik demi kuasa.

Tangkap layar dari Facebook Hyperlokal

“Kluster Politik. tapi still in deny (masih dalam penafian) tak nak namakan kluster politik. Yang disuruh (ikut) SOP rakyat,” kata Is Mael.

Po Din pula berkata: “Maaf Tan Sri…. kami rakyat hargai usaha Tan Sri KP dengan kakitangan KKM. Tapi rakyat disuruh berjaga-jaga. Tapi menteri, orang politik…. hampir semuanya jaga tembolok masing-masing.”

“Sedih tengok muka Tan Sri tadi.. sebab orang politik tamak kuasa.. kami bukan orang senang macam orang politik.. tunggu masa PKP pakat tak kerja lagi kami semua,” kata Najib Fahmi.

Pada masa sama, beberapa ‘page’ dan orang perseorangan di Facebook memuat naik hantaran bergambar menyindir ahli politik yang mengetepikan kepentingan rakyat.

Antara yang mendapat banyak perkongsian ialah hantaran bergambar dengan ‘caption’: “Dekat Indonesia menteri pening sebab rakyat degil tak nak ikut SOP, dekat Malaysia rakyat pening sebab menteri degil tak nak ikut SOP.”

Tangkap layar ciapan di Twitter

Di Twitter, peningkatan mendadak kes Covid-19 menyebabkan Lockdown 2.0, MCO 2.0 (Perintah Kawalan Pergerakan), #RakyatJagaRakyat dan DG Hisham trending di laman sosial tersebut.

Rata-rata pengguna Twitter turut memuat naik ciapan menyindir dan meluahkan rasa marah kepada ahli politik.

https://twitter.com/FirdausAzil/status/1311615037035872260?s=19

Beberapa ahli politik dilapor positif Covid-19 setelah pulang dari Sabah, termasuk Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.

Semalam, kira-kira 600 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus di Pulau Pinang terpaksa menjalani ujian swab dan diarah kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian.

Ini selepas seorang guru wanita berusia 40-an yang juga isteri kepada ahli politik di Kedah yang berkempen di Sabah ketika PRN, disahkan dijangkiti wabak itu.

Di Melaka, bangunan pentadbiran kerajaan Melaka, Komplek Seri Negeri ditutup selepas Adun Ayer Limau, Amiruddin Yusof mengesahkan beliau positif Covid-19 selepas pulang dari Sabah. – Malaysiapost

Warganet memuat naik ciapan Dr Noor Hisham yang telah disunting sebagai tanda marah kepada ahli politik