JDT ajak penyokong rai kejuaraan dengan tonton bola dalam kereta

0
2

KELAB bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya memerlukan satu sahaja mata untuk mengesahkan kejuaraan Liga Super musim ini.

Perlawanan menentang Sabah hari ini dianggap sebagai perlawanan yang penting untuk dinobatkan sebagai juara buat kali ketujuh berturut-turut sejak 2014.

Penularan wabak Covid-19 di yang kini meningkat semula mendorong JDT mengambil pendekatan yang berbeza untuk meraikan kejayaan bersama penyokong mereka.

Menerusi laman rasmi, JDT mengajak penyokong mereka hadir ke acara ‘Live viewing party’ sekitar perkarangan Stadium Sultan Ibrahim untuk menonton perlawanan di skrin gergasi dari dalam kereta secara penjarakan sosial.

Lebih menarik, penyokong JDT juga berpeluang menyaksikan gimik selepas perlawanan termasuk ‘extended reality’ dan pertunjukan bunga api.

Bagaimanapun, hanya penyokong yang memiliki pas kereta yang sah sahaja dibenarkan hadir ke acara itu.

Sebanyak 1,500 pas kereta disediakan secara percuma dengan konsep ‘Siapa Cepat, Dia Dapat’ di Gate B Stadium Sultan Ibrahim, sejak kelmarin.

Manakala 650 pas kereta telah diperuntukkan untuk pemegang Pas Bermusim JDT dan ahli Yayasan JDT.

Terdapat beberapa peraturan yang wajib diikuti oleh para penyokong sepanjang perlawanan berlangsung.

Antara itu ialah penyokong mesti berada dalam kereta sepanjang masa dan memakai pelitup muka ketika hendak menggunakan tandas.

Mereka juga digalakkan membawa bekalan makanan dan minuman sendiri kerana tiada gerai akan dibuka bagi mematuhi prosedur operasi standard Covid-19 serta tidak dibenarkan berlegar-legar di kawasan Stadium Sultan Ibrahim. -Malaysiapost