KEMENTERIAN Haji dan Umrah Arab Saudi belum mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan ibadat umrah dalam suasana Covid-19 yang masih belum pulih.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri dalam kenyataan berkata, kerajaan telah cuba mendapatkan maklum balas daripada Kedutaan Arab Saudi dan sehingga kini belum ada sebarang pengumuman mengenainya.
“Kerajaan akan sentiasa berusaha mendapatkan perkembangan semasa dan terkini daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi serta bekerjasama dengan agensi pengelola umrah bagi memudahkan pelaksanaan ibadat umrah bagi umat Islam di Malaysia,” katanya hari ini.
Menurut Zulkifli, SOP yang dikeluarkan akan menetapkan bilangan jemaah dalam penerbangan, jumlah bilik penginapan jemaah dan bilangan dalam bas, serta aspek berkaitan lain.
Tambahnya, kos pengangkutan dan penginapan adalah antara yang dijangka mengalami perubahan.
“Sehubungan itu, agensi pengelola umrah disarankan menunggu SOP ditetapkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sebelum kos sebenar yang akan dikenakan kepada jemaah yang berhasrat menunaikan umrah dapat ditetapkan.
“Pertambahan kos menunaikan umrah melebihi RM3,000 seperti diuar-uarkan oleh sebuah akhbar tempatan adalah anggaran yang dinyatakan pihak tertentu sebelum SOP dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya. – Malaysiapost

