Nurul Huda Abhar
SETIAP individu yang pulang dari Sabah wajib untuk menjalani saringan ujian Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.
Pelakon, Datin Rebecca Nur Al Islam tidak terkecuali menjalani ujian saringan Covid-19 selepas pulang dari negeri itu sebagai mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau yang mesra dengan panggilan Mummy Becca, berkata tindakan melakukan ujian tersebut atas dasar tanggungjawab untuk memastikan keselamatan ahli keluarga yang lain dan orang sekelilingnya.
“Baru tiba di KLIA dari Kota Kinabalu, Alhamdulillah. Mummy Becca telah menunaikan tanggungjawab mummy sebagai seorang rakyat dan ibu yang mempunyai ramai anak anak kecil di rumah.
“Alhamdulillah Swab test telah di lakukan di Airport (lapangan terbang) tadi ,Insya-Allah dalam masa tiga hari dapat result (keputusan),” katanya di Facebook, hari ini.
Menurut Becca, sementara menunggu ujian saringan beliau akan menjalani kuarantin dahulu sebelum pulang ke rumah kediamannya.
“Sekarang masa kuarantin, sabar ya anak-anak mummy sayang, mummy kuarantin dulu. Jumpa kalian nanti, Insya-Allah anak-anakku.
“Swab test di hidung Dan tekak telah di lakukan tadi. Sakit? Sumpah tak sakit langsung, Alhamdulillah.. terima kasih front liner.
“Walaupun kamu tak pergi ke tempat berisiko, tapi Swab test ada kala nya perlu buat supaya kita rasa selamat untuk bersama keluarga dan insan tercinta,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan semua individu yang baru tiba dari Sabah wajib menjalani saringan di pintu masuk antarabangsa (PMA) bermula 27 September sehingga 10 Oktober.
-Malaysiapost


