EMPAT anggota Pasukan Polis Marin (PPM) melecur selepas bot peronda dinaiki mereka meletup di kawasan perairan Tanjung Batu dekat Kalabakan, Sabah, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, semua anggota terbabit dikatakan baru selesai mengisi minyak sebelum melalui landasan Bengkel PPM untuk membuat “Sea Trail” di kawasan perairan Tanjung Batu.
Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Empat Tawau, Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata, kejadian membabitkan anggota dan kru bot ronda PCR 50.
Menurutnya, satu letupan kuat dipercayai dari bahagian enjin bot berlaku kira-kira tiga minit selepas “Sea Trail” dijalankan mengakibatkan seorang anggota tercampak ke laut.
“Tiga lagi anggota yang masih berada di atas bot bagaimanapun cuba menyelamatkan bot dengan mematikan enjin sebelum terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.
“Mereka melecur antara sembilan hingga 12 peratus pada bahagian badan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd Nazari berkata, kesemua anggota terbabit kini dirawat di hospital Tawau dan berada dalam keadaan selamat.
Bagaimanapun katanya, salah seorang anggota dilaporkan menggunakan alat bantuan pernafasan kerana disyaki terhidu asap.
“Siasatan lanjut mengenai punca kejadian masih dijalankan,” katanya. – Malaysiapost

