Najib saran Kerajaan Sabah batal projek Empangan Papar

0
2

Nurul Huda Abhar

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyarankan Kerajaan Negeri Sabah yang baharu membatalkan projek Empangan Papar yang dianugerahkan ketika era pemerintahan Warisan.

Beliau berkata, projek tersebut diberikan secara rundingan terus kepada sebuah syarikat dari Semenanjung yang berkait dengan projek terowong di Pulau Pinang bersama sebuah syarikat baru yang amat kecil.

“Kerajaan Warisan dahulu telah berjanji menanggung kos penuh RM3 bilion ini. Ini akan memberi tekanan hebat kepada bajet tahunan Sabah yang cuma RM4 bilion setahun.

“Gantikan projek ini dengan projek kolam-kolam takungan hiliran (Off River Storage ORS) bersama penjana tenaga solar yang kos dan impak alam sekitar jauh lebih rendah,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Saranan itu antara lima perkara yang dicadangkan Najib kepada Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor untuk diberi perhatian.

Selain itu, Najib berkata, Sabah juga patut menuntut cukai jualan petroleum dari Kerajaan Pusat seperti dilakukan Sarawak yang menerima bayaran RM2.9 bilion daripada Petronas.

“Selain itu, Kerajaan Sabah harus mempercepatkan pembinaan Pan Borneo Highway terutamanya jajaran yang lebih dekat dengan bandar utama,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Sabah juga perlu segerakan sabitan kes melibatkan Timbalan Ketua Menteri Warisan Plus Sabah, Datuk Christina Liew yang telah diarahkan membayar ganti rugi RM557 juta kepada syarikat milik kerajaan Sabah.

Katanya, kes tersebut masih dalam proses mahkamah rayuan pada tahun 2018 setelah Warisan mengambil alih kerajaan.

“Ini termasuk sejumlah 819 peladang kecil yang telah ditipu tanah mereka pada tahun 2005 dan 2006,” katanya. -Malaysiapost