Bukan masa untuk mengungkit, Syahir ingatkan Asyraf

0
2

Aiman Hanif

“KEKANDA, ini bukan masa untuk mengungkit,” demikian reaksi Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Syahir Sulaiman.

Mengulas kritikan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki terhadap Ketua Pemuda Armada Wah Ahmad Fahysal Wan Kamal, pemimpin PAS itu mengingatkan sekarang bukan masa untuk mengungkit.

Jika mahu mengungkit katanya, PAS lagi banyak boleh mengungkit.

“Jika mahu diungkit, orang PAS lagi banyak boleh mengungkit, berkorban harta, jiwa, tenaga, dan maruah, namun segalanya tidak lagi berbangkit.

“Kewajipan kita banyak, masa kita sedikit. Setuju Ketua Armada terkhilaf. Khalas (habis),” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Syahir turut memuat naik tangkap layar yang memaparkan komen Asyraf di Facebooknya.

Terdahulu Wan Ahmad Fahysal mendakwa kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disebabkan Perikatan Nasional (PN) tidak dibebani dengan isu legasi, kerana ianya masih baru dan segar.

Jelasnya kekuatan PN katanya banyak terkumpul Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkannya tidak “ponggah”, tidak angkuh dan amat meraikan kerjasama.

Katanya faktor itu membuatkan rakyat sayang, tidak dibayangi dengan skandal dan masalah yang kronik sehingga rakyat susah nak percaya.

Membalas kenyataan itu, Asyraf mengingatkan Wan Ahmad Fahysal bahawa Umno sudah cukup banyak berkorban untuk Bersatu walauapun parti itu mempunyai bilangan kerusi yang sedikit.

Umno telah membantu menyelamatkan kerajaan Persekutuan dengan mengangkat Muhyiddin sebagai perdana menteri meskipun bilangan kerusi Bersatu sedikit.

Begitu juga Umno berkorban dan memberi laluan kepada Bersatu dalam penubuhan kerajaan Perak dan Sabah.

Sementara itu Syahir mengajak Asyraf berpandangan jauh ke hadapan dan rapatkan saf demi masa depan negara.- Malaysiapost