[Dunia] KELUARGA lelaki Afrika Amerika yang mati ditembak oleh seorang pegawai polis Amerika Syarikat (AS) bakal menerima AS$20 juta (RM83.41 juta) dalam satu penyelesaian awam, kata peguam bela mereka semalam.
Memetik laporan AFP, ia penyelesaian terbesar di AS, Daerah Prince George di negeri Maryland akan membuat pembayaran kepada keluarga William Green yang mati ditembak ketika tangannya masih bergari pada awal tahun ini.
“Ini satu penyelesaian yang bersejarah di AS yang menggambarkan sifat kejam, ganas dan tidak berperikemanusiaan terhadap apa yang berlaku ke atas Encik Green,” kata peguam bela, William Murphy.
Green, 43, ditahan pada 27 Januari lalu di Daerah Prince George yang bersempadan dengan ibu kota Washington selepas didakwa menggunakan kenderaannya untuk melanggar beberapa kereta.
Ketika suspek digari dan duduk di dalam kereta polis, dia didakwa ditembak enam kali oleh pegawai polis, Michael Owen.
Owen yang juga berkulit hitam sebelum ini berkata, kedua-dua mereka bergelut dan Green cuba untuk merampas pistolnya.
Bagaimanapun, penyiasat menafikan dakwaannya dan dia dipecat dan didakwa atas tuduhan membunuh. – Malaysiapost

