Hajiji mampu pimpin negeri – Musa Aman

0
2

BEKAS ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengucapkan tahniah kepada Datuk Hajiji Noor atas pelantikannya sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-16.

Menerusi hantaran di Facebook, Musa berkata, beliau mengenali Hajiji sudah lama sejak berkhidmat dalam Kabinet negeri kepimpinannya sebagai ketua menteri.

“Beliau selalu memberikan komitmen sepenuhnya dan profesional dalam kerjanya.

“Biarpun seorang yang penyayang, tetapi beliau adalah pemimpin tegas dan dapat membuat keputusan tanpa rasa takut dan pilih kasih,” katanya.

Musa berkata, beliau yakin dengan kebijaksanaan dan pengalaman yang luas, Hajiji mampu memimpin Sabah, sekali gus membawa pertumbuhan semula ekonomi yang sangat diperlukan rakyat dan pembangunan negeri pada masa depan.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di Istana Negeri, di Kota Kinabalu, pagi tadi. – Malaysiapost