Di mana pula ibu bapa? – tanya NUTP

0
3

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mempersoalkan motif seorang wanita yang mempertikai guru tidak mengawal dan memantau pelajar selepas waktu sekolah, seperti disiarkan sebuah akhbar yang kemudian tular di media sosial.

Menerusi artikel ditulis Izyan Qistina Qusairi, turut disertakan gambar beberapa pelajar berjalan beriringan di luar pagar sekolah tanpa kelibat guru.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock menerusi kenyataan hari ini mempertikaikan masa gambar tersebut diambil iaitu setelah lama pelajar dilepaskan dan tidak berebut meninggalkan sekolah.

Justeru, katanya, tidak adil sekiranya guru dihakimi hanya melalui gambar tersebut kerana tugas guru menjaga pelajar telah lama apabila semua urusan di sekolah selesai.

“Urusan antara guru dan pelajar hanya bermula dl pintu pagar utama dan berakhir di tempat yang sama mengikut waktu yang telah ditetapkan.

“Justeru, NUTP ingin bertanya kepada masyarakat, di manakah ibu bapa yang sepatutnya membawa anak-anak mereka pulang dan bukan melepaskan tanggungjawab tersebut kepada guru sahaja?,” katanya.

Beliau berkata, tugas guru bermula sebelum fajar menyinsing iaitu berdiri dan menyambut kedatangan pelajar, memastikan suhu badan diambil setiap hari mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Guru juga, katanya, memastikan pelajar berada dalam keadaan selesa di bilik darjah, selain merupakan individu yang sentiasa memberi dorongan, galakan dan peringatan kepada murid.

“Semasa Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) rancak berjalan, guru menyelesaikan beberapa perkara penting seperti kes ponteng, disiplin pelajar, pelajar berkeliaran di sekolah, kes curi dan Iain-Iain lagi.

“Namun tugas tersebut tidak hanya berhenti di situ, guru turut membuat persediaan menyambut kedatangan orang kenamaan, pegawai dari kementerian, membaiki kerosakan di tandas, bumbung sekolah dan menjaga perihal kantin dan pelbagai lagi hanya untuk memastikan keselesaan dan keselamatan pelajar ketika berada di sekolah.

“Apabila tamat waktu persekolahan, guru yang dilantik untuk bertugas perlu berada di pagar sekolah bagi memastikan pelajar berjalan dan melintas jalan raya dengan selamat dan menenangkan keadaan apabila pelajar bergegas hendak pulang dari sekolah,” katanya. – Malaysiapost