Covid-19: 101 kes, 4 kluster baharu dikesan

0
2

Fitri Nizam

SEBANYAK 101 kes positif Covid-19 direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, selain mengesan empat kluster baharu.

Daripada jumlah itu, 97 daripadanya membabitkan penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 93 kes positif terbaharu itu adalah membabitkan rakyat tempatan manakala empat lagi warga asing.

Beliau berkata, sebanyak 73 kes dikesan di Sabah iaitu membabitkan 51 dalam Kluster Bangau-Bangau; saringan bergejala (8); Kluster Benteng LD (2); Kluster Kuarters (2).

Selain itu, masing-masing satu kes saringan rujukan ke Hospital Sandakan; kes saringan kontak rapat kes positif Covid-19; kes saringan di Pintu Masuk Antarabangsa; kes saringan petugas kesihatan dan saringan komuniti.

“KKM juga mengesan dua kluster baharu di Sabah iaitu Kluster Jalan Bomba (3) dan Kluster Jalan Utara (2),” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 14 kes baharu dilaporkan di Selangor membabitkan saringan pulang dari Sabah (9); saringan kontak rapat kepada kes positif (2); satu kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Benteng PK; satu dalam Kluster Jalan Apas dan satu kes saringan sebelum pulang ke negara asal.

“Di Johor ada dua kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Bakawali yang semuanya membabitkan warganegara,” katanya.

Kes jangkitan tempatan membabitkan individu pulang dari Sabah juga dikesan dengan masing-masing satu di lapan negeri iaitu di Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Melaka, Kelantan, Pulau Pinang, Putrajaya dan Perlis.

Dr Noor Hisham berkata, empat kes import membabitkan dua individu yang pulang dari Myanmar yang dikesan di Sarawak; satu kes pulang dari Arab Saudi yang juga dikesan di Sarawak, manakala kes pulang dari Nigeria dikesan di Selangor. – Malaysiapost