Ciapan Masidi beri gambaran kerajaan Sabah longgar

0
2

Fitri Nizam

KANDUNGAN ciapan Timbalan Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Masidi Manjun adalah contoh betapa longgarnya kerajaan baharu Sabah, kata wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin.

Mengulas mengenainya, beliau berkata, tidak perlu menunggu pemimpin itu bersara untuk menceritakan apa sebenarnya berlaku berikutan pertukaran portfolio dengan Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Bayu dari Gunung Kinabalu membawa khabar mengatakan Bung Mokhtar naik angin dan buat ribut menuduh Ketua Menteri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dari Bersatu, (Datuk Seri) Hajiji Mohd Noor, mungkir janji.

“Itulah yang tular di media sosial,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, semua sedia maklum bahawa peruntukan kewangan portfolio Kementerian Kerja Raya lebih besar daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

“Kalau kita bandingkan watak Bung Moktar dengan Hajiji, rasanya tidak pelik kalau Bung Moktar telan Hajiji hidup-hidup.

“Hajiji boleh selamat hanya dengan perlindungan Putrajaya. Itu pun selagi (Perdana Menteri, Tan Sri) Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) masih berkuasa,” katanya,

Bekas ahli Bersatu itu juga berpendapat pergolakan dalam kerajaan GRS adalah peluang keemasan untuk Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Warisan Plus untuk memainkan peranan.

“…peranan sebagai pelindung Sabah daripada hegemoni Putrajaya dan Perikatan Nasional,” katanya. – Malaysiapost