PERTUKARAN portfolio antara Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Masidi Manjun dibuat selepas campur tangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ia susulan tindakan Bung Moktar yang juga Pengerusi Umno Sabah tidak berpuas hati apabila Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor gagal menunaikan janji.
Menurut sumber, syarat untuk Umno menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri ialah dengan melantik Bung Moktar sebagai Menteri Kerja Raya.
Bagaimanapun Hajiji pada awalnya hanya memberikan jawatan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan kepada Bung Moktar.
“Bung mengamuk dan mengugut untuk menarik sokongan Umno, BN kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Bagaimanapun Perdana Menteri campur tangan dan mahukan Hajiji ikut perjanjian asal melantik Bung Moktar portfolio terbabit,” katanya kepada Malaysiapost.
Terdahulu Hajiji yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16 di Istana Negeri di Kota Kinabalu.
Hajiji, 65, mengangkat sumpah jawatan itu pada jam 10.38 pagi di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Beliau mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, sekali gus menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak 1990.
Bung Moktar pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 manakala turut dilantik bagi jawatan sama Datuk Dr Jeffrey Gapari Kitingan Datuk DrJoachim Gunsalam.
Sementara itu sumber berkata, Bung Moktar “mengamuk” apabila Hajiji enggan memenuhi perjanjian asal gabungan itu.
Bung Moktar hampir mengadakan sidang media bagi memaklumkan rasa tidak puas hati dengan peraturan Hajiji.
“Dengan kata lain, Perdana Menteri berjaya menyelamatkan Sabah daripada terus berdepan kemelut politik,” katanya
Selepas selesai Majlis mengangkat sumpah jawatan, Hajiji mengumumkan pertukaran portfolio antara Bung Moktar dan Masidi.
Bung Moktar kemudiannya memberitahu media yang dia berpuas hati dengan agihan jawatan dalam Kabinet baharu kerajaan Sabah.- Malaysiapost

