Hishammuddin diarah jalani kuarantin kendiri

0
2

Fitri Nizam

MENTERI Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein diarah menjalani kuarantin kendiri meskipun negatif selepas menjalani ujian saringan Covid-19 sebaik tiba dari Sabah.

Beliau pulang dari Sabah selepas membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) Pitas, Sufian Abdul Karim yang disahkan positif Covid-19.

Justeru, Ahli Parlimen Sembrong itu menasihatkan supaya jentera BN yang baru pulang dari Sabah untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dan segera melaporkan diri jika mengalami simptom jangkitan.

“Seperti saya maklum, saya sendiri akan kuarantin diri di rumah. Sama-sama kita bantu usaha KKM tangani penularan wabak ini,” katanya pada hantaran di laman sosial Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah cukup bermakna namun masih banyak lagi perlu kita usahakan demi rakyat Sabah.

“Saya tahu ada sebahagian telah disahkan positif. Harap bertabah dan saya doakan semoga segera beroleh kesembuhan agar kita semua dapat kembali fokus terhadap usaha membela kepentingan rakyat,” katanya. – Malaysiapost