Menteri perjelas kesesakan di KLIA ekoran ujian Covid-19

0
2

UJIAN saringan Covid-19 tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana ia mungkin memberi kesan kepada keputusan saringan terbabit, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof .

Susulan itu, beliau berharap penumpang yang disaring di lapangan terbang memahami prosedur yang sudah ditetapkan.

“Perkara ini (ujian saringan Covid-19) perlu dilakukan secara berhati-hati dan tidak boleh tergesa-gesa. Contohnya ketika proses calitan, ia tidak boleh buat cepat.

“Kerana kita mahu beri keputusan saringan itu secara tepat. Jadi, kita minta penumpang faham dengan peraturan yang sudah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Sebelum ini, tular di media sosial bahawa penumpang dari Sabah terpaksa menunggu lebih enam jam bagi menjalani ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

Susulan itu, KKM kemudian menambah bilangan kakitangan di lokasi berkenaan bagi mengelak kesesakan.-Malaysiapost