Kontrak lebih 2,000 pegawai KKM disambung – Dr Adham

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

KONTRAK perkhidmatan seramai 2,070 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disambung secara “one-off” untuk tempoh enam bulan lagi.

Menerusi kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata bagi tujuan itu, kerajaan memperuntukkan RM81 juta melalui dana Kumpulan Wang Covid-19.

“KKM telah menerima makluman bahawa Kementerian Kewangan pada 18 September bersetuju meluluskan penyambungan kontrak secara one-off, enam bulan lagi bagi penjawat berkenaan.

“Kelulusan itu membabitkan 79 pegawai perubatan yang telah melengkapkan khidmat wajib sahaja kerana telah mengikuti latihan siswazah di luar negara, 852 pegawai pergigian dan 1,139 pegawai farmasi yang telah menamatkan latihan atau khidmt wajib,” katanya.

Dr Adham berkata, kelulusan itu adalah tambahan kepada kontrak enam bulan yang diberikan sebelum ini.

Penyambungan kontrak ini adalah manifestasi keprihatinan kerajaan bagi membolehkan pegawai meneruskan penyampaian perkhidmatan di fasiliti kesihatan di bawah KKM. – Malaysiapost