ADA kemungkinan majlis angkat sumpah Ketua Menteri Sabah yang baharu tidak akan berlangsung hari ini.
Ia berdasarkan laporan beberapa portal berita yang didakwa mendapat maklumat tersebut daripada sumber.
Menjadi kebiasaan sebelum ini, majlis angkat sumpah Ketua Menteri berlangsung di Istana Negeri di Kota Kinabalu pada keesokan hari selepas kerajaan baharu dibentuk.
Kecuali pada 2018 apabila majlis angkat sumpah berlangsung dua kali, pertama oleh Tan Sri Musa Aman pada lewat malam sehari selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), disusuli majlis angkat sumpah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada malam berikutnya.
Ketika ini, sekumpulan petugas media sudah mula berkumpul berhampiran Istana Negeri, namun difahamkan tiada sebarang pergerakan oleh pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ke istana.
Difahamkan, gabungan itu masih bermesyuarat bagi menentukan siapa calon Ketua Menteri sebelum mengadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Setakat ini, dua calon disebut-sebut bakal dipilih sebagai Ketua Menteri iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor.
Malam tadi, Bung Moktar berkata perbincangan untuk menentukan calon Ketua Menteri akan dilakukan segera dan masalah akan timbul jika ada pihak sengaja cari masalah.
Hajiji pula menyatakan calon Ketua Menteri akan diumumkan sebelum memasuki Istana Negeri, pagi ini. – Malaysiapost

