Bincang baik-baik pilih KM Sabah – KJ

0
2

Fitri Nizam

RAKYAT Sabah telah bersuara, kepada yang menang, bincanglah baik-baik untuk memilih Ketua Menteri baharu, kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sudah berakhir diharap dapat menamatkan kemelut politik di Sabah yang bermula sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Katanya, ia juga diharap dapat membuka lembaran politik baharu yang lebih stabil dan harmoni di negeri itu.

“PRN Sabah telah berakhir dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi kerjasama Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) telah menerima mandat rakyat untuk menerajui kepimpinan kerajaan negeri yang baharu.

“Kerjasama menerusi GRS dalam PRN ini pastinya akan menjadi asas dan model contoh kepada kerjasama lebih baik di peringkat nasional antara BN dan PN terutamanya dalam menghadapi PRU15 akan datang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, sudah tiba masanya soal politik diketepikan oleh semua pihak, sama ada yang menang ataupun yang kalah.

“Fokus utama kerajaan yang telah dipilih dalam PRN ini perlulah tertumpu kepada tindakan bagi menghentikan penularan wabak Covid-19 yang sangat membimbangkan di negeri Sabah ketika ini.

“Soal kesihatan rakyat Sabah perlulah diutamakan dalam keadaan sekarang ini,” katanya.

GRS sah membentuk kerajaan baharu memperolehi 38 kerusi, manakala Warisan Plus memperoleh 32 kerusi dan Bebas tiga kerusi DUN.

Berdasarkan keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PN memenangi 17 kerusi, diikuti BN 14 kerusi dan PBS tujuh kerusi.

Warisan Plus pula, Parti Warisan Sabah (Warisan) memenangi 29 kerusi termasuk enam DAP, diikuti PKR dua kerusi dan satu kerusi dimenangi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).

Tiga kerusi selebihnya dimenangi calon Bebas iaitu di DUN Pitas, Kuamut dan Kemabong. – Malaysiapost