Nurul Huda Abhar
VOKALIS kumpulan U-topia, Afee yang terkenal dengan lagu Cinta Mithali sekitar 1980-an kini bergelar usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang menjual produk makanan tempatan.

Beliau membuka perniagaannya di kawasan tapak niaga Taman Amaniah, Batu Caves, Selangor dan dalam masa sama masih aktif membuat persembahan nyanyian bersama kumpulannya.
Turut sama berniaga di tapak tersebut, beberapa penghibur era 1980-an dan 90-an antaranya Shafie Rio, Siti Fairuz, Ann Ways dan Lan Zailan.
“Alhamdulilah bermula dengan berniaga ikan bilis Sabah… kini setelah sokongan dari sahabat-sahabat yang sama mencari rezeki dengan berniaga, kini produk by (oleh) Afee U-topia telah bertambah.
“Sambal Hitam Mek Yah, kudapan kerepek peria dan kerepek ubi biasa dan sira pedas… sesiapa nak boleh pm (hubungi) atau boleh datang sendiri minggu ni di tempat biasa Padang Awam Batu Caves.
“Ramai artis-artis yang berniaga, Shafie Rio Ricco, Wom UG14, Ann Ways, Paparock Neva Dai, Kak Siti Fairuz, abang Lan Zailan,” kata penyanyi lagu Maya Percintaan itu.
Menerusi siaran langsung (live) di Facebooknya, Afee turut berkongsi produk jualan rakan-rakan artis di tapak niaga itu yang dibuka hari Jumaat, Sabtu dan Ahad setiap minggu.
“Boleh cuba minyak wangi Siti Fairuz, Kopi Dayang Senandung dan vitamin kulit. Jom datang jumpa mommy kat sini,” kata penyanyi Siti Fairuz yang popular dengan lagu Usah bertanya lagi.
“Pada yang mahu merasa sate saya, boleh datang ke kabin 8, sehingga menjilat jari,” kata Ann Ways yang terkenal dengan lagu Keranamu Suhaila.
Bagi peminat yang ingin membeli produk jualan artis-artis ini boleh mengunjungi Padang Awam Batu Caves, berhampiran dengan tapak pasar malam Kampung Melayu. – Malaysiapost

