ALHAMDULILLAH, kata bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menerusi hantaran di Facebooknya pagi ini.
Itu reaksi ringkas beliau susulan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), iaitu gabungan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.
Kemenangan gabungan itu yang meraih 38 kerusi sekali gus memastikan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dipimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama sekutunya yang mentadbir Sabah sejak Mei 2018, tumbang.
Musa, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga tidak bertanding pada PRN ini, namun beliau aktif berkempen untuk GRS menumbangkan Warisan.
Pada akhir Julai lalu, beliau mengetuai 32 Adun dalam cubaan mengambil alih kerajaan negeri, yang kemudian membawa kepada pembubaran DUN sekali gus PRN diadakan. – Malaysiapost

