PRN Sabah indikator baik bubar Parlimen

0
2

KEMENANGAN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) malam tadi, memberi indikator baik kepada gabungan kerajaan Persekutuan jika Parlimen dibubarkan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ia sekali gus memberi isyarat jelas yang rakyat menerima kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tuan Ibrahim berkata, bantuan berterusan diumumkan Perdana Menteri sepanjang musim Covid-19 diterima baik dan isyarat berkenaan ditunjukkan menerusi PRN Sabah.

“Saya selaku kepimpinan PAS mengucapkan tahniah kepada GRS yang memenangi PRN dengan cemerlang hasil Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“PAS walaupun tidak bertanding, kita tetap turunkan jentera dan hampir kesemua kepimpinan parti turun padang bagi membantu parti rakan mencapai kemenangan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, kemenangan PRN itu juga memberikan petunjuk baik kepada gabungan parti pemerintah untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya nak kata selesa pun tidak juga, politik ada cabaran. Cuma indikator yang ditunjuk (PRN Sabah) itu agak baik bagi kami di Semenanjung khususnya kalau kerajaan bersedia untuk bubar Parlimen,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Awani