Covid-19: Ujian saringan kakitangan gimnasium di KLCC negatif

0
2

Nurul Huda Abhar

PIHAK pengurusan Suria KLCC mengesahkan keputusan ujian saringan Covid-19 yang diambil 24 September lalu bagi kakitangan dan kontak rapat sebuah gimnasium, Babel Fit adalah negatif.

Menerusi kenyataan di Facebook Suria KLCC, mereka turut memaklumkan semua kakitangan dan kontak rapat tersebut kini menjalani kuarantin seperti diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut kenyataan itu, proses sanitasi dan pembasmian kuman dilakukan secara menyeluruh di pusat gimnasium berkenaan dan kawasan sekitarnya.

Tambahnya, pihak KKM juga membenarkan gimnasium itu kembali beroperasi seperti biasa setelah proses pembersihan selesai.

“Kami gembira pihak Babel telah mengambil langkah proaktif dalam menguruskan keadaan dan berhubungan rapat dengan KKM terutama ketika menjejaki kontak.

“Kami ingin memastikan bahawa tidak ada yang lebih penting daripada keselamatan pelanggan dan pasukan kami kerana kami terus memantau setiap keadaan di Suria KLCC untuk memerangi wabak Covid19,” tulisnya.

Semalam, Babel Fit dalam satu kenyataan telah melaporkan bahawa salah seorang ahlinya yang berkunjung ke gimnasium itu telah disahkan positif Covid-19 pada 23 September lalu.

Ahli itu mengunjungi cawangan Babel di Suria KLCC di antara 11 dan 13 September, manakala di cawangan TTDI pada 14 dan 17 September. – Malaysiapost