PKR menghormati keputusan yang telah dibuat rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam, kata Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada masa sama, katanya, parti itu berharap proses pembentukan kerajaan negeri dapat dikemudi dengan aman, bijaksana dan penuh hikmah.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan Warisan Plus, khususnya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Parti Warisan Sabah yang memenangi 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Begitu juga, katanya, DAP yang mendapat enam kerusi dan UPKO menang satu kerusi.
“Tahniah juga buat Datuk Christina Liew, Pengerusi KEADILAN Sabah di atas kejayaan KEADILAN Sabah mempertahan dua kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Serta usaha baik terutama di DUN Sook yang melihat peningkatan hampir dua kali ganda peratus undi buat KEADILAN berbanding 2018,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada PRN kali ini, PKR bertanding tujuh kerusi dan hanya menang dua iaitu di DUN Api-Api dan Inanam.
Anwar juga meminta semua pihak termasuk pimpinan parti itu supaya akur dengan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan Covid-19 terutama dalam isu saringan dan kuarantin.
“Peningkatan mendadak kes terutama jangkitan dalam komuniti amat membimbangkan, dan saya berdoa agar rakyat Malaysia sentiasa patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) KKM dan dilindungi dari wabak ini,” katanya.-Malaysiapost

