JAGUH trek berbasikal negara, Azizulhasni Awang menerima ‘durian runtuh’ RM100,000 dari kerajaan Terengganu sekali gus menjadi pembakar semangat sebelum beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai tahun depan.
Turut menerima insentif sama, atlet memanah negara, Khairul Anuar Mohamad.
Penyampaian insentif terbesar kepada dua Olimpian negara itu disempurnakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Yahaya Ali.
Turut hadir Pengerusi Pembangunan, Belia, Sukan dan Badan Bukan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah serta Pengerusi Majlis Belia Terengganu, Amirullah Othman pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri, semalam.
Khairul Anuar yang digelar Robin Hood’ negara hadir pada majlis itu manakala Azizulhasni yang dilabel The Pocket Rocketman’ diwakili ibunya, Selamiah Yong, kerana masih berada di Melbourne, Australia menjalani latihan persiapan ke Olimpik.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri atas pemberian insentif Olimpik ini, kali pertama saya mendapat nilai yang agak tinggi dan insentif inipasti menyuntik semangat untuk melakukan panahan yang lebih baik buat negara,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Ketika ditanya persiapannya sebelum menghadapi temasya Olimpik itu, pemanah recurve negara yang meraih pingat perak Kejohanan Memanah Dunia di Belanda tahun lalu mengakui kini fokus mengadakan latihan bagi mengintai pingat buat negara pada temasya empat tahun sekali itu.
“Persiapan latihan sekarang lancar, namun buat masa ini tidak ada perancangan untuk diadakan di luar negara memandangkan pandemik Covid-19.
“Walaupun saya mahu beraksi dalam kejohanan luar, tapi apabila fikir keselamatan, saya terpaksa tangguh dahulu menyertai kejohanan lain dan setakat ini hanya berlatih di Bukit Jalil.
“Pada masa sama saya bakal menyertai kejohanan tempatan terlebih dahulu sebelum beraksi kejohanan di luar negara kerana sasaran saya di Sukan Olimpik nanti mahu mengutip pingat tanpa mengira warna biarpun akui sukar,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: Metro

