DUA kes positif Covid-19 baharu dikesan di Sarawak hari ini dengan kedua-duanya di Lawas, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu meningkat kepada 706 kes.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, berkata kedua-dua kes itu adalah lelaki warga tempatan yang juga petugas barisan hadapan di Pos Kawalan Sempadan Sarawak-Sabah di Merapok.
“Mereka disaring pada 20 September 2020 kerana disyaki mempunyai kontak kepada kes positif Covid-19 semasa bertugas di pos sempadan itu.
“Sampel saringan kes dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu, Sabah dan ujian rT-PCR pada 26 September mendapati sampel saringan mereka apositif Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, salah seorang daripada mereka menunjukkan tanda dan gejala awal jangkitan Covid-19 pada 7 September 2020, manakala seorang lagi tidak bergejala.
“Kedua-dua kes dirujuk ke Hospital Miri hari ini untuk rawatan lanjut dan siasatan awal menunjukkan mereka tidak mempunyai sejarah perjalanan keluar negara atau melawat kawasan berstatus merah di Sabah.
“Punca jangkitan kedua-dua kes itu masih dalam siasatan lanjut dan hasil siasatan awal menjurus kepada berkemungkinan mereka mendapat jangkitan ketika menjalankan tugas sebagai petugas barisan hadapan di pos sempadan,” katanya. – Malaysiapost

