Muhammad Mustakim Ramli
AHLI-ahli Parlimen PKR memberi sokongan penuh kepada langkah yang diambil untuk mengembalikan mandat rakyat pada 9 Mei 2018, dengan memberi tumpuan ke arah memacu pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kesenjangan miskin dan kaya.
Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata pihaknya hari ini mengadakan perbincangan tentang kedudukan terkini Kerajaan Persekutuan berikutan pengumuman Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 September lalu.
“Kami memanjatkan doa agar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah diberikan kesembuhan yang segera dan dikurniakan kesihatan yang baik.
“Sebarang sokongan daripada mana-mana Ahli Parlimen harus datang dari keinginan jujur mahu menyelamatkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi Covid-19 yang memerlukan sebuah kerajaan stabil, dinamik dan kuat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani, berkata komitmen terhadap keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan memelihara integriti kerajaan yang baharu tidak akan dikompromi sama-sekali.
Katanya, kerajaan mesti fokus memantapkan tatakelola dan melaksanakan reformasi institusi, termasuk badan kehakiman.
“Kami turut mengambil maklum dengan kenyataan bahawa ramai Ahli Parlimen Umno BN telah beralih sokongan dan kini menyokong Anwar, maka jelas Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang majoriti sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Sebelum ini, Anwar mendakwa mempunyai majoriti hampir dua pertiga Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus menumbangkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Anwar dalam sidang media khas itu berkata, sokongan yang dianggap kukuh dan meyakinkan itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebaik baginda keluar daripada Institut Jantung Negara. – Malaysiapost
Foto Kredit: Berita Harian

