Strategi Anwar, Zahid umpama ‘bunuh diri’

0
2

Aiman Hanif

[ SUDUT PANDANG ] KENYATAAN Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menimbulkan banyak persoalan, apakah benar ramai Ahli Parlimen Umno bersedia untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri.

Setelah Zahid membuat kenyataan itu, sebuah portal menyenaraikan nama 19 Ahli Parlimen Umno yang sedia menyertai Anwar untuk membentuk kerajaan baharu.

Namun, tidak lama kemudiannya “berduyun-duyun” Ahli Parlimen Umno yang namanya dikaitkan tampil membuat pengakuan bahawa mereka tidak menyokong Anwar dan tidak akan bersama DAP bagi membentuk kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional (PN).

Malah, bila dirisik dengan beberapa pemimpin kanan Umno sendiri, mereka pun tidak tahu apa motif Zahid mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara jelas menegaskan yang parti itu masih menyokong kerajaan PN berdasarkan kepada keputusan dibuat Majlis Tertinggi (MT) Umno sebelum ini.

Jadi, apa motif Zahid mengeluarkan kenyataan sedemikian? Ada yang berkata ia sekadar ugutan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana beberapa keputusan dibuat Presiden Bersatu itu tidak disenangi Umno.

Ya, mungkin itu tekanan kepada Muhyiddin, namun, mengeluarkan kenyataan sebegitu pada waktu yang tidak sesuai memberi gambaran buruk bukan saja kepada kepimpinan Zahid sebagai Presiden Umno bahkan juga kepada parti itu sendiri.

Bagi golongan tidak berparti yang kini berdepan tekanan ekonomi akibat Covid-19, kestabilan ekonomi dan kerajaan amat dituntut. Jika kemelut politik negara sekali lagi tercetus dan Umno sebagai “dalangnya” kali ini rakyat pastinya akan membenci Umno.

Umno sedia peluk DAP?

Jika kita teliti, adalah sesuatu yang mustahil untuk Umno bersama Anwar dan membentuk kerajaan dengan DAP.

Ini kerana DAP adalah seteru yang nyata kepada Umno bukan dua hari, bahkan sejak puluhan tahun dulu. Bahkan Umno telah pasak dalam pemikiran orang Melayu bahawa DAP ini sebuah parti rasis, cauvinis dan anti Islam.

Apakah Umno bersedia untuk kekhilangan sokongan pengundi Melayu jika mereka sanggup bersama DAP untuk tempoh singkat bagi memenuhi agenda pihak tertentu.

Begitu juga dengan DAP, apakah mereka sedia bekerjasama dengan Umno yang mana beberapa orang pemimpinnya dianggap sebagai “perompak” oleh parti itu.

Bahkan DAP juga dilihat meragui “nombor” yang dimiliki Anwar bagi membentuk kerajaan apabila pemimpinnya sendiri meluahkan rasa “terkejut” dengan pengumuman Anwar.

Zahid dan Anwar ‘bunuh diri’

Jika melihat kepada situasi semasa politik negara, pengumuman Anwar bagaikan tiada makna. Perubahan kerajaan masih belum berlaku dan Muhyiddin masih kekal Perdana Menteri.

Cuma ada desakan “keanak-anakkan” daripada Pemuda PKR ataupun AMK yang meminta Muhyiddin meletak jawatan, namun bagaikan tidak dihiraukan sesiapa pun.

Lebih meyakinkan lagi usaha Anwar untuk membentuk kerajaan hanya sia-sia, apabila DAP secara terbuka tidak mahu bekerjasama dengan Umno yang dipimpin Zahid.

Jika, Anwar gagal membuktikan “nombor” yang dimilikinya kali ini ia umpama “membunuh diri” dan menempah “tiket persaraannya” daripada arena politik negara.

Bukan kali pertama Anwar mendakwa mempunyai majoriti untuk mengambil alih kerajaan, lebih tiga kali rasanya dan paling tidak dilupakan adalah tragedi “16 September 2008” yang mana dia mendakwa mempunyai angka mencukupi untuk merampas Putrajaya.

Bagi Zahid pula, walaupun kenyataan mungkin sekadar satu tekanan kepada Muhyiddin, namun secara tidak langsung memberi peluang kepada lawan untuk menyerang Umno serta menjerat dirinya untuk pemilihan Umno tahun depan.

Bahkan, mula kedengaran khabar angin bahawa Presiden Umno itu tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan tidak menarik balik pertuduhan terhadapnya. Walau pun sekadar khabar angin, namun ia memberi persepsi negatif bukan saja pada Zahid, tetapi juga Umno.

Kenapa penting pertuduhan itu ditarik balik, kerana jika Zahid dijatuhkan hukuman bersalah, meskipun beliau boleh mengemukakan rayuan, namun kedudukannya sebagai Presiden Umno pasti goyang dan perlu “bercuti”.

Rakyat sedang memerhati dan menanti kesudahan polemik politik kali ini.- Malaysiapost