PRN Sabah penentu nasib Muhyiddin – Kit Siang

0
2

Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin diuji hari ini menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Kit Siang berkata, keputusan yang diketahui nanti bukan sahaja menentukan pentadbir negeri itu malah di peringkat Persekutuan sama ada Muhyiddin diterima rakyat atau sebaliknya.

Beliau berkata, pengundi Sabah bukan sahaja penentu kepada Ketua Menteri tetapi juga membabitkan masa hadapan perdana menteri.

“Pengundi Sabah yang mengundi hari ini bukan saja memilih siapa menjadi ketua menteri tetapi masa depan perdana menteri Malaysia,” katanya hari ini.

Pada PRN kali ini, Perikatan Nasional (PN) dengan gabungan beberapa parti lain di Sabah cuba membentuk pentadbiran kerajaan baharu bagi menggantikan kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Walaupun gabungan tersebut dilihat konsisten sepanjang tempoh berkempen, namun ia sedikit ‘goyang’ apabila Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beliau mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen bagi membentuk kerajaan baharu.

Malah, Ketua Pembangkang dalam sidang medianya Rabu lalu, mendakwa kerajaan Muhyiddin juga telah tumbang.

Susulan itu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan beliau tidak akan menghalang mana-mana Ahli Parlimen yang ingin menyokong kerajaan baharu Anwar. -Malaysiapost