PRU-15 tingkatan korban Covid-19 – Tun M

0
2

TUN Dr Mahathir Mohamad bimbang lebih ramai akan menjadi korban COVID-19 sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan ketika ini.

Bekas Perdana Menteri itu, berkata ketika ini adalah tempoh sukar dan semua pihak perlu mengutamakan nyawa rakyat berbanding survival politik.

“Saya yakin (jika) kita adakan PRU dalam waktu singkat ini, ramai rakyat negara ini akan dijangkiti dan maut akibat COVID-19.

“Soalnya mana kita mahu utamakan, politik atau nyawa rakyat?” katanya seperti dilapor Berita Harian. 

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi di sini, hari ini.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, dalam tempoh sama negara bakal kehilangan banyak wang yang sepatutnya diguna bagi menangani peningkatan mendadak kes COVID-19.

“Apabila diadakan PRU, ramai rakyat akan berkumpul berdekatan dan tiada penjarakan fizikal, sekali gus membolehkan COVID-19 merebak lebih cepat.

“Lihatlah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sekarang, kes jangkitan penyakit ini mencecah tiga angka dan pernah mencatat sehingga 200 kes,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tiada kajian mengenai punca peningkatan pandemik COVID-19 di Sabah, tetapi secara realiti kes itu meningkat sepanjang tempoh PRN berkenaan. -Malaysiapost