Naib Presiden Warisan nafi khabar angin huru-hara ketika PRN

0
2

NAIB Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Jaujan Sambakong, menafikan khabar angin berkenaan dakwaan cubaan pihak tertentu yang mahu mencetuskan huru-hara pada Pilihan Raya Negeri (PRN), hari ini.

Beliau berkata, penyebaran berita palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab itu sengaja dibuat bagi menakut-nakutkan orang ramai supaya mereka tidak keluar mengundi.

“Khabar angin ini tidak betul. Pilihan Raya adalah platform untuk calon bertanding dan bukannya tempat bergaduh.

“Saya fikir rakyat Sabah sudah cukup matang dalam berpolitik. Semua pihak harus sama-sama menjaga ketenteraman dan keharmonian,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sisipan, Pulau Bum-Bum, hari ini.

Beliau yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan ditentang calon Barisan Nasional (BN) Abdul Manan Indanan dan Alahuddin Mohd Sarah, Parti Cinta Sabah (PCS).

Jumlah pemilih berdaftar bagi DUN Sulabayan pada PRN kali ini adalah seramai 14,012 orang.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Jaujan memenangi kerusi DUN berkenaan dengan majoriti 4,926 apabila memperolehi sebanyak 7,116 undi. -Malaysiapost