Saya tidak akan bertanding PRU15 – Tun M

0
2

TUN Dr Mahathir Mohamad memberitahu tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang, tetapi akan terus menentang amalan rasuah.

Bekas Perdana Menteri itu berkata hasratnya untuk memerangi rasuah akan diteruskan melalui parti baharu yang ditubuhkan tempoh hari, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

“Saya mahukan sedikit masa lagi tetapi saya fikir saya akan berkhidmat hanya untuk tempoh yang pendek.

“Tetapi saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-15,” kata seperti dilaporkan Kyodo News.

Beliau membuat kenyataan itu dalam satu temubual di pejabatnya di Putrajaya, semalam.

Dr Mahathir, 95, memegang rekod sebagai ketua kerajaan paling berusia yang dipilih di dunia selepas Pakatan Harapan (PH) menang PRU-14 pada Mei 2018.

Beliau kini menentang kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilabelnya sebagai “pengkhianat”.

Selain itu, katanya, kerajaan baru PN telah mengikut cara lama pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang didakwa mengamalkan rasuah.

“Malangnya begitulah. Selama tiga bulan setelah PNl menjadi kerajaan, saya tidak membuat sebarang komen kerana saya ingin melihat prestasi mereka.

“Sayangnya, ia telah berubah menjadi rasuah, membeli sokongan untuk parti pemerintah.

“Walaupun melakukan semua itu, ia hanya ada dua majoriti ahli parlimen,” katanya lagi.

Beliau merujuk sokongan Muhyiddin di kalangan 222 ahli parlimen, yang mana kerajaan PN kini memiliki dokongan 113 anggota Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, kedudukan Muhyiddin dilihat tergugat susulan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai sokongan kukuh di parlimen.

Susulan kenyataan tersebut, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata maklum ada Ahli Parlimennya yang bersetuju menyokong kerajaan baharu Anwar.

Dr Mahathir berkata, Anwar perlu membawa hal ini untuk undian di Dewan Rakyat bagi mengesahkan Presiden PKR berkenaan mendapat sokongan mencukupi di kalangan Ahli Parlimen.

“Saya harap kalau Anwar ada (majoriti) buktikan bahawa dia betul-betul mempunyai cukup bilangan dan kita putuskan perkara itu.

“Tunjuk bukti dan kita sanggup pergi ke Dewan Rakyat nak dengar siapa yang dapat sokongan dan siapa yang tidak mendapat sokongan,” katanya

Ahli Parlimen Langkawi itu juga tidak menolak Muhyiddin akan mengadakan PRU bagi memecahkan pergolakkan politik negara. – Malaysiapost