Majoriti Anwar makin kabur, DAP tolak bersama Umno pimpinan Zahid

0
2

DAKWAAN Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dia memiliki majoriti bagi membentuk kerajaan terus menjadi persoalan apabila DAP secara terbuka menolak kerjasama dengan Umno pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata parti itu tetap menolak Umno dan Presidennya serta bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kita lawan Umno dan BN, Perikatan Nasional (PN) kerana kita tak boleh terima dasar memecah belahkan rakyat.

“Saya nak tegaskan di sini bahawa DAP tidak akan kerjasama dengan Umno di bawah pimpinan Zahid dan Najib,” katanya ketika berkempen untuk calon DAP di Sabah, hari ini.

Ucapan Guan Eng disiarkan secara langsung di laman sosial Facebooknya.

Sebelum ini, Anwar dalam satu sidang media di ibu negara mendakwa mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan dan beliau menjadi Perdana Menteri.

Dalam sidang medianya juga, Anwar mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tumbang.

Bagaimanapun Anwar tidak mendedahkan jumlah majoriti yang didakwa dimiliknya termasuk sokongan Ahli Parlimen Umno.

Sejurus kenyataan Anwar, Zahid memaklumkan yang dia tidak mampu menghalang wakil rakyat parti itu untuk bersama Ketua Pembangkang.

Untuk rekod DAP mempunyai 42 kerusi Parlimen dan menjadi paling dominan dalam Pakatan Harapan (PH).

Berbanding PKR yang telah hilang 11 kerusi dimenanginya, agak mustahil untuk Anwar memiliki majoriti bagi membentuk kerajaan.

Bahkan sebilangan besar Ahli Parlimen Umno yang dikaitkan akan menyokong Anwar juga turut menafikan dakwaan itu.

“Kalau kita lawan dengan Umno ataupun PN di Sabah, macam mana boleh kerjasama dengan Umno di bawah Zahid atau Najib?,” tambah Guan Eng. – Malaysiapost