MANGSA terakhir yang terselamat dalam kejadian keracunan karbon monoksida, Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, akan dipindahkan ke wad biasa jika keadaan kesihatannya bertambah baik.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis dimaklumkan mangsa kini sudah boleh bercakap walaupun masih tidak lancar.
“Nor Aqilah tidak boleh bangun lagi tetapi dia sudah boleh bercakap walaupun tidak lancar.
“Mangsa juga sudah boleh makan, tetapi setakat ini dia hanya dapat menikmati bubur nasi.
“Jika keadaannya bertambah baik, maka dia boleh ditukarkan ke wad biasa,” katanya kepada media, hari ini.
Semalam, Malaysiapost melaporkan Nor Aqilah telah sedar daripada koma selepas seminggu menjalani rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur.
Dalam kejadian 16 September lalu, empat mangsa iaitu Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri serta dua beradik kembar Nor Adilah dan Nor Aqilah masing-masing berusia 21 tahun, berhenti rehat di tempat letak kereta stesen minyak di Sama Gagah di Lebuhraya PLUS arah Utara.
Difahamkan, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah namun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh bapa salah seorang mangsa.
Sharifah Fariesha maut di lokasi kejadian manakala Ayuni Shazwanie pula meninggal dunia dalam perjalanan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Tidak lama kemudian, Nor Adilah dilaporkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak.
Manakala, Nor Aqilah dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur. – Malaysiapost

