PRESIDEN Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee menyatakan keyakinannya terhadap peluang parti itu dan rakan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), esok.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, GRS memiliki cukup kekuatan untuk mengambil alih kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) dan rakan sekutunya.
“GRS adalah yang terbaik di Sabah kerana ia menyatukan kita semua dan SAPP bangga dapat menyertai gabungan ini.
“Jadi, kita perlu memastikan kerjasama di bawah GRS terus kukuh,” katanya pada Ceramah Perdana GRS di Putatan, malam tadi.
SAPP adalah rakan baharu Perikatan Nasional (PN) yang diterima menyertai gabungan itu, awal bulan ini.
Teck Lee bagaimanapun mengakui pada awalnya beliau melihat peluang untuk mengalahkan Warisan dan rakan sekutunya agak mencabar, namun keadaan itu berubah selepas kempen memasuki fasa akhir.
“Bagi SAPP, kami diberi tanggungjawab untuk menawan kerusi DUN Luyang dan Tanjung Papat. Pada mulanya memang nampak sukar kerana kedua-dua kerusi dikenal pasti kawasan hitam.
“Namun, apabila kita turun padang berkempen di kedua-dua kawasan, penerimaan rakyat semakin baik dan saya yakin tiada masalah untuk kita mengambil semula Luyang.
“Di Tanjung Papat mungkin ada susah sedikit tetapi kita percaya peluang untuk menang di kerusi itu kini bertambah baik iaitu 50-50 berbanding hitam pada awalnya,” katanya.
Di kerusi DUN Luyang, calon PN-SAPP, Gee Tien Siong berdepan penyandang kawasan itu yang mewakili Warisan Plus-DAP, Phoong Jin Zhe dalam persaingan enam penjuru dengan tiga lagi calon lain daripada Parti Cinta Sabah (PCS), Gagasan, Parti Liberal Demokratik dan calon Bebas.
Bagi kerusi Tanjung Papat, calon PN-SAPP, Ken Yong berdepan penyandang kerusi itu yang mewakili Warisan Plus, yang juga Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam persaingan tujuh penjuru. – Malaysiapost

