PRN Sabah: Bung Moktar pesan buat pilihan dengan bijak

0
2

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan pengundi di Sabah supaya menggunakan kebijasanaan untuk memilih parti yang baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN), esok.

Beliau yang juga Pengerusi Umno Sabah, berkata BN dan Perikatan Nasional yang bergabung di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah bersedia menggalas amanah dan tugas memimpin negeri.

Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag itu menegaskan, pengundi perlu menggunakan akal fikiran yang waras untuk memilih kerajaan baharu yang lebih baik berbanding kerajaan sedia ada yang dilihat gagal membawa Sabah ke arah betul.

“Kepada pengundi, bukan saja  di Lamag tapi semua 73 DUN seluruh negeri, pada 26 September ini anda semua ada satu pilihan iaitu untuk menentukan hala tuju dan masa depan Sabah.

“Apabila kita ada peluang, maka ambillah peluang itu. Gunalah kebijksanaan untuk memilih parti yang baik. Saya mencadangkan dan mengesyorkan kami, BN dan PN bersedia menggalas amanah dan tugas.

“Maka anda semua pengundi Sabah wajar memberi perhatian, gunakan akal fikiran yang waras dan pilihlah kerajaan yang baik daripada kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya dalam pesanan khas beliau kepada rakyat Sabah sempena PRN esok.

Apa yang jelas, katanya, kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) gagal membangun ekonomi dan memberikan perhatian sewajarnya kepada semua rakyat Sabah termasuk golongan belia.

“Warisan gagal membangunkan ekonomi, Warisan gagal rakyat, Warisan gagal memuliakan anak muda. Untuk itu kami bersedia, BN dan PN bersedia menggalas amanah ini dan untuk memacu ekonomi rakyat Sabah,” tegasnya.

Beliau mengakhiri pesanannya dengan meminta rakyat Sabah keluar mengundi bagi memilih parti diyakini boleh membangunkan Sabah.

“Pergilah keluar mengundi seawal pagi yang boleh bagi memastikan yang anda mendapat hak untuk mengundi pada PRN Ke-16 ini dan pastikan undi anda kepada parti yang anda rasa boleh membangunkan negeri Sabah,” katanya. – Malaysiapost