Keputusan parti lebih penting – Najib

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

PERKARA yang paling penting adalah keputusan parti, kata Datuk Seri Najib Razak mengulas sama ada beliau akan menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan baharu.

Bekas Perdana Menteri itu tidak menolak kemungkinan terdapat Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) menyokong Anwar, seperti didakwa Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Jelas mungkin ada Ahli Parlimen yang termasuk dalam kategori itu. Tetapi lebih mustahak lagi adalah keputusan parti.

“Mari kita tunggu sampai masanya untuk kami membuat pendirian rasmi mengenai isu ini,” katanya menerusu video yang dikongsi di Facebook Najib Razak.

Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, Umno dan BN tidak dapat menghalang Ahli Parlimen parti itu untuk mengambil keputusan menyokong Anwar yang berhasrat menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana, kata Ahmad Zahid, Umno dan BN bukan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Kenyataan itu susulan pengumuman Anwar yang mendakwa memiliki sokongan kukuh dan menyakinkan daripada majoriti Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan menggantikan kerajaan PN.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pekan itu menegaskan beliau tetap setia kepada Umno.

“Pada tahap sekarang, perkara ini masih spekulasi. Yang penting, kita semua ahli parti.

“Saya orang parti. Apa pun yang akan diputuskan oleh parti, saya akan menyokongnya,” katanya. – Malaysiapost